Aku benar-benar suka teks ucapan ini. Ianya kelihatan biasa. Di sebaliknya bagi aku terkandung di dalamnya makrifat Tok Guru Nik Aziz. Sesuatu yang boleh disebut karomah ulama besar seperti beliau. Mungkin pada sesetengah orang ini hanyalah sebuah kenyataan politik. Namun, tidak bagi aku. Intipati teks ini suatu ketika nanti pasti akan menjadi khzanah berharga buat pejuang Islam yang menggunakan wadah politik untuk masa akan datang. Aku amat terkesan dengan hujah beliau. Ianya sangat mudah difahami. Inilah matlamat politik beliau. Aku akan cetak dan bingkaikan kenyataan ini sebagai khazanah berharga bagi umat Islam di Malaysia. Dan ianya suatu hari nanti akan menjadi bahan akademik yang menjadi perbincangan ilmiah oleh para sarjana. Percayalah, masa itu akan sampai.
" Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.
Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,
1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.
2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.
3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.
4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.
5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.
Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.
Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.
Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.
Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.
Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.
Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum.
Firman Allah yang bermaksud;
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)." [al-Hujuraat, 49: 13]
Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat."
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.
sumber - http://www.blogtokguru.com/pages/posting/37/perutusan-sempena-dua-tahun-pakatan-rakyat